Formula Adil Untuk Pelajar Cemerlang Semua Kaum
| |
Kuala Lumpur, 10 Julai - KERAJAAN telah membuat keputusan bahawa pemberian biasiswa untuk pengajian ke luar negara atau dalam negara melalui biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah merangkumi semua pelajar tidak mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang. Semua pelajar cemerlang yang memperolehi 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak menerima biasiswa JPA. Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri di Perhimpunan Agung MIC kelmarin itu barangkali mengejutkan banyak pihak. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan itu semata-mata untuk mengiktiraf pelajar cemerlang. Tetapi ia juga boleh dilihat sebagai formula yang mungkin dapat menutup kontroversi dan rasa tidak puas hati masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sebelum ini, kuota pemberian biasiswa JPA sering menimbulkan kontroversi dan tidak puas hati sesetengah pihak. Misalnya pada tahun 2008, ada pelbagai pihak menyuarakan tidak puas hati dengan penambahan kuota biasiswa JPA yang memberikan 50 peratus kepada bumiputera dan 45 peratus bukan bumiputera sementara lima peratus kepada kaum-kaum lain. Kaum bumiputera bimbang dengan pengurangan bilangan pelajar bumiputera yang memperoleh biasiswa JPA maka akan meluaskan lagi jurang perbezaan bilangan profesional bumiputera dan bukan bumiputera. Malah ada pihak yang berpandangan mereka tidak kisah kerajaan hendak menolong kaum-kaum lain tetapi hak orang Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tetap perlu dipertahankan. Sebelum wujud agihan itu, JPA menawarkan 2,000 biasiswa setiap tahun dengan pecahan 90 peratus kepada pelajar bumiputera dan bakinya kepada bukan bumiputera. Terbaharu, nampaknya kerajaan berusaha mengurangkan politik dalam soal agihan biasiswa pelajaran. Dasar JPA sendiri, tiada amalan dasar pilih kasih dalam pemberian biasiswa atau pinjaman kepada para pelajar tajaannya kerana beberapa kriteria telah ditetapkan. Antara kriteria bagi pelajar tajaan JPA yang melanjutkan pelajaran ke luar negara ialah kecemerlangan akademik dan kedudukan sosioekonomi terutama pelajar daripada keluarga miskin. Bagaimanapun, kriteria itu tidak bermakna JPA tidak boleh memberikan biasiswa kepada pelajar daripada kalangan anak orang kaya. Maka, formula lebih adil telah dirangka oleh Kabinet - tanpa mengambil kira komposisi bumiputera dan bukan bumiputera supaya agihannya lebih adil dan memuaskan hati semua pihak. Jika bilangan pelajar Bumiputera yang cemerlang dan layak mendapat biasiswa itu lebih ramai daripada bukan bumiputera, maka jangan sesiapa mempersoalkannya kelak. Pemberian kini berdasarkan merit. Jangan ada pula nanti yang mempertikaikan mengapa mereka dapat kurang dan yang lain dapat lebih. Ini adalah janji Najib yang bersungguh-sungguh mahu melakukan transformasi terhadap negara ini. Mahu tidak mahu, kita perlu ikut perubahan ini. Bangsa Melayu, Cina, India dan kaum di Sabah dan Sarawak harus sedar, kita sekarang berada di atas landasan untuk melakukan transformasi ini. Keputusan itu memberi gambaran jelas bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib sejak tahun lalu bukan setakat slogan tetapi dilaksanakan oleh kerajaan di bawah kepimpinannya. | |
|